Wednesday, October 06, 2010

Maafkan semua perkara yang menyakitkan..

Bebaskan hati anda daripada dendam. Apabila anda masih menyimpan kemarahan, tidak kira atas alasan apa pun, sebenarnya anda hanya menyakiti diri anda. Dendam dan marah hanyalah membuatkan kita sentiasa hidup pada hari semalam, iaitu hari di mana kita rasa disakiti. Ini hanya akan menyulitkan kita untuk maju ke hadapan dan memiliki masa depan yang lebih baik. Oleh itu, lepaskanlah... ‘Let it go, let it go... Release it, let it go...'

Antara cara terbaik untuk menghilangkan kemarahan ialah dengan menulis sepucuk surat atau senarai mengenai segala apa yang anda marahkan selama ini. Tulislah kesemuanya hingga anda dapat merasakan kemarahan anda telah pun berpindah ke atas kertas itu dan kemudian, bakarlah kertas tersebut. Maafkan sesiapa yang telah melukakan hati anda, atau bersalah dengan anda. Luangkanlah masa 10 minit sehari dengan mengucapkan:

‘Aku maafkan dan bebaskan... dan aku harap mereka bahagia dan mereka akan pergi dariku...'

Antara kebaikan yang akan anda rasai apabila anda memaafkan seseorang ialah:
1. Hati akan menjadi bersih.
2. Fikiran menjadi tenang.
3. Penyakit rohani dan jasmani mudah sembuh.
4. Wajah lebih cantik/tampan kerana wajah adalah cermin hati.
5. Suntikan hidayah akan memasuki jiwa anda.
6. Rezeki akan dipermudah dan mula melimpah ruah.
7. Mula dapat merasakan kehadiran kasih sayang yang banyak daripada pelbagai sudut.
8. Diri akan menjadi lebih produktif kerana anda lebih bertenaga dan bersemangat.
9. Doa cepat dimakbulkan.
10. Kemampuan tenaga zahir dan batin akan meningkat.

Praktikkan cara-cara ini, semoga anda akan dapat menukar minda anda kepada manusia yang berfikiran serba cukup. Dengan mengamalkan Hukum Kecukupan ini, semoga Hukum Tarikan yang anda amalkan akan mudah dimanifestasikan. Semoga kita semua beroleh rahmat dan petunjuk dari Allah s.w.t sentiasa.

Ingatlah, hidup ini adalah indah apabila kita benar-benar bersyukur.

Segalanya terletak pada hati dan fikiran kita. Kita harus melihat pemberian Allah dengan mata rohani, sehingga mampu merasakan kekayaan rohani yang kita miliki itu adalah pemberian Allah. Keselamatan, kesihatan, ketenangan, keyakinan iman dan banyak lagi lainnya, adalah kekayaan rohani yang sangat mahal harganya. Allah s.w.t. tidak pernah melupakan hamba-hamba-Nya, tetapi manusialah yang lupa kepada-Nya. Sedikit sekali manusia yang bersyukur kepada-Nya.

Sabda Rasullullah s.a.w., maksudnya:

"Pada anggota manusia itu, ada seketul daging, jika baik daging itu, maka akan baiklah seluruh jasadnya. Ketahuilah, bahawa yang dimaksudkan dengan daging itu, adalah hati."
(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Sumber iLuvislam.com

No comments:

Post a Comment